Tuesday, May 7, 2013

Dua Mata

Allah mengurniakan manusia dengan dua mata. Mata adalah antara nikmat jasad yang terbesar. Mata juga adalah dugaan yang begitu hebat untuk insan. Dengan mata, manusia mampu melihat, sekali gus menjana akalnya untuk berfikir pelbagai perkara. Namun, dengan mata juga manusia mudah bermaksiat dan akhirnya daripada apa yang dilihat, akalnya berfikir pelbagai perkara yang merosakkan.


Mata melihat masa belakang, muhasabah

Kelemahan manusia antaranya adalah membuat kesilapan yang sama berulang ulang. Dengan mengulangi kesilapan yang sama, peningkatan manusia dalam hidupnya akan terganggu. Manusia yang baik adalah manusia yang tidak mengulangi kesilapannya.

Rasulullah s.a.w mengatakan, "Seorang Mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali". Hadith ini dilaporkan oleh Muslim.

Dengan mata kita bermuhasabah dan merenung salah silap kita. Ramai manusia mengingati kelebihanya, kebaikannya dan kegemilangannya. Namun, hanya sedikit mengingatinya kekurangannya, kejahatannya dan kerendahannya.

Benda benda yang tidak baik dilakukan orang, kita tidak perlu ingat. Tetapi, benda benda tidak baik yang kita lakukan perlu kita ingat dan jadikan sebagai bahan muhasabah. Ini supaya ia tidak berulang lagi. Bukan sekadar tidak berulang pada diri kita, tetapi juga tidak berulang pada diri anak anak dan manusia sekeliling kita. Namun siapakah, yang melihat masa belakang kita dan memperbetulkan kesilapan kita?

Mata melihat masa hadapan, merancang

Antara kelemahan manusia adalah tidak mempunyai perancangan, Hidupnya tidak dirancang, pengurusan dirinya tidak dirancang, keluarganya tidak dirancang, pelajarannya tidak dirancang dan begitu juga dalam kehidupannya.

Apakah perbezaan antara manusia merancang dan tidak merancang? Manusia yang merancang pasti bersedia. Persediaan adalah pakej perancangan. Jangan samakan merancang dan harapan ataupun cakap kosong. Merancang bermakna mempunyai strategi.

Apabila kita bersedia dan tidak mendapat apa yang kita rancang, sekurang kurang persediaan kita bermakna pada medan lain. Contoh mudah, kita merancang untuk berkahwin, kita mula mengumpul wang. Sampai pada masanya, dia tidak mahu berkahwin dengan kita. Aoa yang kita rancang tidak berjaya. Tetapi duit itu masih ada. Duit itu masih bermakna di medan lain pula. Kegagalan satu perancangan bukan penamat pada kehidupan seterusnya.

Begitu dalam menjadi hamba Allah swt

Apakah rancangan kita?

Dimana strategi kita dalam menggapai redha-Nya?

Apakah  jalan yang kita mahu ambil? Pernahkah kita merancang?

Allah swt juga menggalakkan perancangan. Allah menegaskan dalam surah Al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud:

"Wahai orang orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap kalian memerhatikan apa yang dia sedia kan untuk hari esok"

Apakah yang kita sediakan untuk hari esok?

Bab 26, Untuk Kita Pendosa
Hilal Asyraf
muka surat 124

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis