Kisah ini ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin.
Kisah seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sepohon pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki tersebut mencapai sebilah kapak lalu menuju ke kampung tersebut untuk menebangnya.
Dipertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan tidak berpuas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan dan setiap pergelutan dimenangi lelaki soleh tersebut.
Akhirnya syaitan mengaku kalah, tetapi ia menukar strategi. Ia membuat satu tawaran pada lelaki soleh itu. Syaitan akan memberikan satu dinar emas setiap pagi sekiranya lelaki soleh itu membatalkan niat untuk menebang pokok tersebut. Lelaki soleh itu termakan tawaran syaitan itu dan berlalu pulang.
Pada keesokkan paginya, bangun sahaja dari tidur, lelaki soleh itu mendapat ada sekeping dinar emas dibawah bantalnya. Benar syaitan telah menunaikan janjinya. Begitulah yang berlaku pada hari kedua. Tetapi pada hari ketiga tiada lagi dinar emas di bawah bantalnya. Ternyata syaitan telah menipu.
Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mencapai kapaknya dan meneruskan niat nya untuk menebang pokok tersebut. Dipertengahan perjalanan, syaitan yang menyamar sebagai manusia cuba untuk menghalang lelaki soleh tersebut. Maka berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dia bangun dan mencuba sekali lagi, dia tetap kalah. Malah di cubanya untuk kali ketiga dan lelaki soleh itu tetap kalah.
Ketika itu lelaki soleh itu bertanya kenapa dia kalah, adakah lawannya semakin gagah? Syaitan menjawab "Engkau kalah kerana kali ini niat mu untuk mencegah kemungkaran bukan kerana Allah swt tetapi kerana dinar emas"
Lelaki soleh itu mengaku dia menjadi lemah kerana niat nya kali ini tidak lagi ikhlas. Terbuktilah keikhlasan itu satu kekuatan dan kehormatan.
Farid kata: Orang yang ikhlas itu kuat hatinya.
No comments:
Post a Comment